Ke Arah Kesatuan Fikrah - Asas Kejayaan Organisasi


Kesatuan Fikrah

Kesatuan fikrah adalah asas bagi kemenjadian organisasi. Organisasi yang tidak jelas fikrahnya, tidak akan dapat bertahan lama. Ahlinya akan lesu dan pimpinannya akan membuat keputusan yang tidak tepat. Atas sebab itulah Muhammad Ahmad Ar-Rasyid menekankan kepentingan kesatuan fikrah apabila menulis tentang "Jamaah Satu Hati" dalam bukunya yang bertajuk, Hambatan-hambatan Dakwah. Perkara ini juga diperakui oleh jeneral perang yang hebat, Jeneral Sun Tzu yang menyebut akan 5 perkara untuk menilai kekuatan sebuah angkatan tentera:
  1. Hala tuju: Matlamat yang perlu dikongsi oleh kepimpinan dan ahli, supaya seluruh tubuh badan organisasi bergerak tanpa rasa ragu-ragu dan sanggup berkongsi kepayahan dan berkorban demi mencapai matlamat. Matlamat tidak mungkin dapat dibentuk tanpa membentuk asas cara fikir (fikrah) yang sama.
  2. Cuaca: suasana yang memberi kesan kepada anggota.
  3. Keadaan semasa: situasi semasa yang memberi kesan kepada pergerakan anggota. 
  4. Kepimpinan: kebijaksanaan pemimpin, empati, keberanian, ketegasan dan daya tanggungjawab.
  5. Disiplin: struktur organisasi, "chain of command", dan susun atur pergerakan/strategi yang berdisiplin.
Daripada 5 perkara ini, kita dapat analisa dan cuba fahami bahawa sebuah organisasi mampu untuk berdiri kuat apabila:
  1. Mempunyai agenda yang jitu. Agenda dibentuk oleh asas fikrah. Jemaah yang tidak bersatu hatinya tidak akan mampu berpegang kepada agenda yang sama. Perkara ini dihuraikan oleh Ar-Rasyid dalam bab Jemaah Satu Hati dalam bukunya, Ar-Raqaiq. 
  2. Sikap empati pimpinan memahami situasi ahli dengan mengenal latar belakang mereka, memahami kelemahan mereka dan mengetahui potensi setiap ahli. Syeikh Jum'ah Amin menyebut tentang kaedah fiqh dakwah "at-ta'rif qabla taklif" (berkenalan sebelum memberi tugas).
  3. Penilaian terhadap situasi semasa yang menyeluruh. Kajian dan pengalaman adalah asas bagi memahami situasi semasa. Setiap masyarakat/lokaliti mempunyai potensi, peluang serta kepayahan yang tersendiri. Menjadi tanggungjawab daie untuk menyelidik, memerhati dan memahami persekitaran mereka untuk memberi penilaian yang tepat. Fathi Yakan menyebut tentang perkara ini dalam buku "Isti'ab".
  4. Kepimpinan yang bukan sahaja mempunyai sifat 'Abid, malah adalah kuat dan mampu mengambil tindakan yang strategik. Cukuplah 4 sifat nabi sebagai syarat bagi kepimpinan; kebijaksanaan (fathanah), bersifat benar terhadap diri+situasi+terhadap orang lain (siddiq), bertanggungjawab dalam menunaikan segala hak yang perlu ditunaikan (amanah), dan menyampaikan dakwah (tabligh).
  5. Disiplin melalui struktur organisasi, "chain of command", disiplin dalam menjalankan keputusan hasil musyawarah, serta disiplin dalam pergerakan (bersifat tawaddhu' serta bersedia ditegur dan menerima kritikan). Fathi Yakan menyebut antara sifat Golongan Yang Tercicir di Jalan Dakwah ialah sikap tidak iltizam dengan dasar (policy) harakah atau kaedahnya, serta tidak mahu mengikut keputusan yang dibuat oleh badan harakah, malah, lebih cenderung untuk menonjolkan diri sendiri. Di sini disiplin memainkan peranan yang besar.
Sifat Pemuda; Tonggak Kejayaan Organisasi

Kita dapat melihat melalui sejarah, bahawa pemuda adalah tonggak bagi kebangkitan. Dalam mana-mana tamadun, pemudalah merupakan tulang belakang bagi keagungan tamadunnya. Dalam mana-mana organisasi, pemudalah tangan dan kaki yang menggerakkan tubuhnya. Hancurnya pemuda, maka hancurlah sesebuah tamadun. Hebatnya pemuda, maka nantikanlah kehebatan yang bakal menjelma.
إِنَّمَا تَنْجَحُ الفكرةُ إذا قوي الايمان بها، وتَوَفَّر الإخلاصُ في سبيلها، وازدَادَتْ الحماسة لها، وَوُجِدَ الاِستِعْدَادُ الذي يحمل على التَضحية والعمل لتحقيقها. وتَكاد تكون هذه الأركان الأربعة: الايمان، والإخلاص، والحماسة، والعمل من خصائصِ الشباب 
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; iman, ikhlas, semangat dan amal adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda. - IHAB
IHAB menggariskan 4 rukun pemuda yakni:

  1. Iman: Asas kepada iman ialah ‘qalbun zakiy’ (Hati yang bersih)
  2. Ikhlas: Asas kepada ikhlas ialah ‘fuaadun naqiy’ (Jiwa yang suci)
  3. Hamasah (semangat): Asas kepada hammasah ialah ‘syu’ur qawiy’ (Perasaan yang membuak-buak)
  4. Amal: Asas kepada amal ialah ‘al-‘azm fatiy’ (Azam seorang pemuda)
Keempat-empat rukun pemuda yang disebut menggariskan ciri-ciri yang melayakkan seseorang daie untuk menggelarkan diri mereka sebagai pemuda yang bergerak untuk Islam sepertimana para sahabat telah menunjukkan contoh teladan bagi kita.

Hammasah ialah antara elemen utama yang membezakan seorang pemuda dengan seorang syuyukh (ilmuan/orang tua yang mempunyai kefahaman melalui pengalaman). Semangat para pemuda melahirkan keazaman yang tinggi. Ia juga menjadi asas kepada Syuju'ah; sifat berani kerana benar. Sifat Hammasah adalah pendorong para daie untuk berani mengangkat obor ke langit sambil menerokai jalan yang gelap gelita. Ia adalah api yang membara dalam jiwa seorang daie dan ia adalah optimism yang memberi suntikan keyakinan kepada para daie untuk beramal kerana Allah.

Hammasah adalah satu aset yang penting bagi sesebuah organisasi. Tanpanya, organisasi akan lesu dan tidak bernyawa. Idea tidak akan dapat bercambah dan amal akan kekal di takuk yang sama. Hammasah adalah satu aset yang menggerakkan para daie untuk melakukan inisiatif-inisiatif sendiri yang boleh membawa kepada impak yang besar bagi dakwah. Ia adalah jiwa yang menggerakkan dakwah dan memastikan anggota dakwah cergas bergerak untuk mara ke hadapan.Mahupun begitu, Hammasah seorang pemuda seringkali menipu dan pemuda yang bergerak atas dasar semangat pasti akan tertipu oleh bisikan-bisikan syaitan yang suka meniup-niup jiwa yang sudah sedia membara. 

Antara Semangat Orang Muda dan Hikmah Para Syuyukh (بين حماسة الشباب وحكمة الشيوخ)

Hammasah yang tidak dipandu oleh seorang syuyukh pasti akan mengulangi banyak kesilapan, menjerumuskan para daie untuk terjatuh ke dalam gaung kejahilan dan hasutan syaitan. Hammasah yang tidak terpandu akan menyebabkan seseorang daie itu hilang rasa tawaddhu'; dia hanya akan merasa tinggi diri terhadap pendapatnya dan merasakan bahawa tidak ada orang lain yang mempunyai pandangan sehebatnya. Beliau akan degil daripada menerima teguran dan akan sukar untuk memohon maaf atas kesilapan; kerana dia tidak akan mampu menerima bahawa beliau telah berbuat silap. Maka hilanglah rasa tawaddu'.

Hilangnya sifat tawaddu' akan menyuburkan rasa riak dan pentingkan diri, menghilangkan rasa ketaatan serta kemahuan untuk tunduk patuh kepada arahan. Akhirnya lahirlah aktivis yang hanya bertindak atas kepentingan diri, melupakan nilai ukhuwwah dan intima' (peleburan diri) terhadap jemaah dakwah. Sifat inilah yang melahirkan ahli-ahli politik kini yang sanggup membelakangi jemaah dakwah atas kemahuan untuk mencapai kejayaan melalui jalan yang singkat. Benarlah kata Syeikh Fathi Yakan, antara sebab tercicirnya seseorang daripada jalan dakwah ialah kecenderungan untuk menonjolkan amal sendiri, berbanding mengikuti iltizam organisasi. Moga-moga allah memelihara kita daripada hasutan syaitan.

Oleh itu, amatlah penting bagi para pemuda untuk menghindari diri daripada terperangkap dalam hasutan syaitan dengan mengimbangi langkahnya bersama panduan hikmah para syuyukh. Para syuyukh adalah para daie yang telah menginfakkan diri mereka dan telah terbukti amal mereka di lapangan. Mereka ialah orang yang siang malamnya berfikir tentang masa depan ummah serta ahli organisasi mereka. Pengalaman para syuyukh dan kedalaman ilmu mereka adalah suatu aset yang tidak mungkin diperolehi oleh pemuda yang baru sahaja berjinak dengan dakwah. Mereka adalah pimpinan harakah dan mereka adalah ulamak-ulamak yang telah menggariskan fiqh dakwah.

Oleh itu, amatlah penting untuk para pemuda menghargai hikmah yang dibawa oleh para syuyukh dalam memandu hammasah. Kombinasi semangat para pemuda dan hikmah para syuyukh ialah formula yang sempurna bagi menjamin kejayaan organisasi dakwah. Ia adalah penyelamat daripada pemuda terus terjerumus dalam perangkap syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. 

Tarbiyyah Asas Istiqamah

Ingatlah,
"Setiap amal mempunyai masa semangat, dan setiap masa semangat terdapat masa turun semangat (fatrah). Barangsiapa yang masa lemah semangatnya masih berada pada sunnahku, maka ia telah mendapat petunjuk" HR Ahmad
Para daie yang telah meleburkan diri dengan tarbiyyah pasti akan mengalami satu fasa yang dinamakan fasa syirrah atau fasa semangat. Fasa semangat adalah sebahagian daripada fasa naik turun yang diimbangi dengan fasa fatrah atau fasa kelesuan. Dua fasa ini adalah sebahagian daripada fitrah bagi setiap amal.

Maka untuk memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan "mendapat petunjuk", haruslah para daie mempunyai sifat tawaddhu' dan rendah diri. Sentiasa merasa terbuka untuk menerima teguran dan tidak ringan mulut untuk mengakui berbuat silap. Para daie yang tawaddhu' tidak akan mempunyai rasa kagum terhadap pendapat sendiri, bahkan akan sentiasa mencari kelemahan. Dia sentiasa berusaha untuk memuhasabahkan diri melalui tarbiyyah yang diberi oleh murabbinya.

Kemenjadian organisasi dan kemampuan organisasi untuk berdiri teguh mengharungi cabaran amatlah bergantung kepada tarbiyyah yang mantap dan sentiasa berkembang. Tarbiyyah adalah tulang belakang bagi dakwah. Tanpa tarbiyyah, organisasi akan kacau bilau, tidak teratur dan sentiasa tidak punyai hala tuju.
"Tarbiyyah bukan segala-galanya. Tetapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah."
Tarbiyyah adalah pembentukan fikrah. Ia tidaklah sama dengan mana-mana majlis ilmu bahkan ia adalah lebih daripada penambahan ilmu. Ia adalah pembentukan peribadi, peningkatan ilmu, dan ia bermatlamat untuk melahirkan pada daie yang mampu menjadi pemimpin bagi masyarakat mereka.

Teladan Al-Fateh

Ayuhlah kita contohi kemenjadian tarbiyyah Sultan Muhammad Al-Fateh. Al-Fateh ialah seorang pemuda yang telah dididik oleh seorang syuyukh dan murabbi, syeikh shamsuddin yang dikatakan adalah salah seorang keturunan abu bakar as-siddiq. hasil didikan syeikh shamsuddin, serta tunjuk ajar daripada murabbi agungnya, yakni sultan murad (bapanya), lahirlah sebuah sosok tubuh yang berdisiplin, berjaya menggunakan potensinya demi agama dan menjalani perkembangan tarbiyyah yang sistematik sehingga berjaya menjadi batu-bata kepada kegemilangan islam.

Syeikh Shamsuddin mengajar Al-Fateh dengan penuh disiplin, merotan beliau pada umur yang kecil demi mendidik erti taat dan disiplin. Sultan Murad pula mengajar Al-Fateh tentang kepimpinan, sebagai contohnya beliau memberi takhta kepada Al-Fateh untuk memberi pengalaman kepadanya sebelum kemangkatan Sultan Murad lagi. Hasil disiplin dan tunjuk ajar ini, maka lahirlah seorang pemimpin yang serius dalam tarbiyyah dirinya, sentiasa  berusaha untuk memperbaiki diri, dan mampu menyusun anggota tentera yang cukup hebat tidak dapat terbanding kehebatannya. Beliau seorang yang cukup bijak dalam membuat keputusan, tetapi sentiasa menanti nasihat daripada bapa dan murabbinya, dan membuka ruang untuk bermusyawarah bersama para ahlinya. 

Begitulah tarbiyyah sebaik-baik tarbiyyah.

Hasutan Syaitan

Akhir kata, berhati-hatilah akan hasutan syaitan yang berselindung di sebalik kebaikan. Syaitan akan berusaha sebaik-baiknya untuk menyesatkan para daie sedikit demi sedikit. Sentiasalah berwaspada akan tarikan syaitan yang sentiasa cuba untuk merobek-robek barisan dakwah. Ketahuilah jika syaitan boleh muncul dalam bentuk seorang syeikh dari an-najd ketika zaman rasulullah SAW, menghasut masyarakat quraisy untuk menentang nabi  SAW, maka yakinlah bahawa syaitan akan membisik-bisik ke dalam telinga kita, bisikan-bisikan yang boleh merosakkan batu-bata dakwah.

Firman ALLAH dalam surah al-A'raaf ayat 27, yang bermaksud; "Wahai anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu-bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka. Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat  melihat mereka. Sesungguhnya KAMI telah menjadikan Syaitan-Syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."