Golongan ini ialah golongan yang benar-benar memahami tujuan hidupnya. Mereka faham bahawa hidup ini bukanlah sekadar makan dan minum, dan dakwah merupakan satu manifestasi syahadah kepada Allah SWT. Tidak lengkap syahadah siapa yang tidak menyampaikan kesaksiannya kepada seluruh alam. Tidak sempurna keIslaman jika hidup sekadar solat, puasa dan zakat tanpa menyampaikan testimoni dakwah kepada masyarakat.
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْأِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُون“Tidak Aku ciptakan jin dan Manusia melainkan hanya untuk beribadah kepada-Ku.”
Hasilnya mereka hidup untuk dakwah. Seluruh hidup mereka disusun
supaya selari untuk melaksanakan saksi. Tidak ada hari yang berlalu tanpa memikirkan
bagaimana untuk mengurus kehidupan agar menyumbang kepada dakwah.
Golongan ini sanggup mengorbankan kepentingan diri demi
kelangsungan dakwah. Masa mereka digunakan untuk dakwah dan mereka sentiasa
mencari ruang untuk menjadi sebahagian daripada gerombolan dakwah. Sejurus
selepas mengenal dakwah, mereka meninggalkan semua yang menjadi fitnah dan menggalas tanggungjawab dakwah dengan penuh keazaman dan tekad tanpa
sesekali menoleh belakang. Mereka faham diri mereka adalah dakwah, akhlak
mereka adalah dakwah, dan segala perbuatan mereka adalah testimoni bagi
penyaksian yang telah diberi.
وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيدًا عَلَيْهِم مِّنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيدًا عَلَىٰ هَٰؤُلَاءِ ۚ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَىٰ لِلْمُسْلِمِينَ
"Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam."
Seorang pemuda pernah bertanya; bagaimana dengan cita-citaku?
Golongan yang hidup untuk dakwah, segala cita-cita dibentuk agar
memberi manfaat untuk dakwah. Mereka bingkas mengejar cita-cita, tetapi
berusaha agar ianya selari dengan keperluan dakwah. Aku telah mengenal terlalu
ramai Professor, Ir, Doktor, aktivis sosial, jutawan mahupun orang yang kurang
berkemampuan untuk memahami bahawa dakwah tidak pernah menjadi siling untuk
menghalang sesiapa daripada berjaya. Yang menjadi penghalang sebenarnya bukan
dakwah, tetapi alasan dari jiwa yang lemah. Sesiapa yang menganggap dakwah
sebagai penghalang kejayaan di dunia sebenarnya hanya mencari penyedap hati,
alasan manis untuk melarikan diri daripada medan mujahadah. Bagi golongan yang
hidup untuk dakwah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan dari Sang Pencipta.
"Kegigihan usahamu pada [perkara-perkara] yang telah pun dijamin untukmu (jodoh, rezeki, takdir) disamping kelalaianmu pada [perkara-perkara] yang telah dituntut daripadamu (amal dakwah, ibadat) adalah tanda matinya mata hati" - Ibn Athaillah
Golongan yang hidup untuk dakwah, kehidupan mereka adalah dakwah. Mereka
melihat cabaran hidup sebagai ujian Allah untuk melihat siapa yang benar-benar
mahu terus beramal melepasi cabaran. Golongan ini menerima takdir Allah kepada
mereka, dan sentiasa berusaha memperbaiki keadaan. Tidak mempersoalkan, mereka meletakkan
harapan pada Allah Azza wajalla. Sesaat
mereka terleka, sesaat juga dakwah tidak ke mana. Apabila mereka berlari,
dakwah bergerak pantas bersama.
Tidak ada beza antara mereka dan dakwah. Telah sebati jiwa,
kehidupan dan pergerakan mereka dengan dakwah. Ibarat pohon yang baik, memberi manfaat kepada semua yang disekitar. Di mana mereka berada, di
situlah dakwah berada.
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ"Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit."
Golongan yang Dakwah Hidup
untuknya
Dakwah ibarat sebuah nakhoda yang mengemudi ombak badai. Di atas
nya adalah pengemudi handal yang mengawal layar, roda pengemudi dan sauh untuk
memastikan nakhoda terus berlayar. Ada pula golongan pemberat di atas nakhoda.
Tidak lain hanya beban yang memberatkan dakwah; tidak membantu, bahkan hanya
melihat dan menunggu di tingkat bawah. Mengharap sampai ke destinasi, tanpa
mahu mengangkat jari.
Begitulah ibarat seorang yang mengharapkan dakwah hidup untuknya.
Dia mendapat manfaat daripada dakwah dan tarbiyyah. Dia telah menghirup nikmat hidayah menerusi pengorbanan masa, harta, dan
tenaga naqib naqibah serta ikhwah dan akhawat, namun tidak sedikit pun terdetik mahu menjadi asbab perantara
hidayah bagi orang lain, atau menjadi batu-bata kepada dakwah yang lebih besar.
Golongan ini sebenarnya tidak menghargai hidayah, bahkan mereka menganggap hidayah sebagai satu hak Allah kepada mereka, sedangkan
ia tidak lain adalah satu rahmat bagi hamba-hambaNya yang terpilih. Kerana itu,
mereka memandang hidayah sebelah mata. Terus pergi dan balik usrah tanpa
merasai keperluan untuk berkongsi kemanisan hidayah bagi yang terlena. Mereka
berkata-kata tetapi tidak berubah sifat dari biasa. Hidup mereka lagha dalam tipu daya.
Terasa selamat, sedangkan tidak ke mana.
Golongan ini adalah mereka yang malas untuk meletakkan usaha melaksanakan syahadah. Mereka putus asa saat diuji dengan secebis godaan dunia. Harta, keluarga,
perniagaan, kerja, rakan, hiburan, cinta semua telah memperdaya. Mereka memilih
dunia sebagai tempat bersenang-lenang dan merasa selesa. Hidup di dalam ruang
yang selamat dan membazir masa.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat."
Golongan ini memandang enteng hutang mereka dengan Allah. Telah
diberi nikmat keselesaan, wang dan kerja, namun digunakan semua demi mengejar dunia.
Apabila dipinta satu sen di jalan Allah, mereka mempersoalkan, marah, dan
mengata. Adakah munafik atau penipu? Apakah mungkin terasa bijak di mata mereka? Sanggup
menggadaikan syurga demi perangkap dunia?
وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ"Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
Keluarlah daripada fantamorgana. Bangkit dari lena dan bingkas mencari redha illahi. Masa terlalu berharga untuk dibazir pada kesenangan yang sementara. Laksanakan kesaksian, hiduplah untuk dakwah agar terselamat daripada seksa neraka.
إِنَّا أَرْسَلْنَا نُوحًا إِلَىٰ قَوْمِهِ أَنْ أَنذِرْ قَوْمَكَ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ"Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya"."
