Setiap pilihan yang kita lakukan mendekatkan diri kita dengan syurga, atau neraka.
Kadangkala pilihan itu hadir dalam bentuk yang jelas, antara haq dan batil.
Kadangkala pula pilihan itu berselimut didalam campuran.
Hakikatnya Al-Haq tidak bercampur, ianya jelas dan tiada titik pertengahan.
Maka sewajarnya membuat pilihan juga adalah mudah, tanpa sebarang keraguan.
Tetapi ramai yang masih ragu-ragu,
Tentang hakikat percampuran ini.
Akibat takut akan ekstremisme,
Maka ramai yang memilih jalan tengah. Jalan yang "selamat".
Lumrah kehidupan, mereka yang kekal di dalam zon selesa, tidak akan benar-benar memahami hakikat hidup.
Hakikat kehidupan merangkumi kepayahan mujahadah mencari kebenaran. Bukan hanya sekadar membuat pilihan berdasarkan apa yang dapat dilihat secara luaran.
Berhati-hati ketika menutup pintu hidayah.
Kerana boleh jadi pintu yang ditutup itu pintu syurga.
Berhati-hati ketika menghukum.
Kerana boleh jadi nafsu yang menjadi tuhan.
Hakikat hidup sebagai hamba Allah,
Penuh dengan keterpaksaan.
Banyak pilihan yang dibuat secara terpaksa,
Atas dasar akhirat, bukan kebaikan luaran.
Banyak pilihan yang dibuat memakan diri sendiri,
Kerana berkata benar itu tidak manis, tetapi pahit.
Dalam membuat pilihan, pilihlah jalan yang benar, merujuk rujukan yang benar.
Pilihlah jalan yang tidak bercampur baur, meletakkan manual hidup sebagai rujukan utama
Pilihlah jalan yang tegas dengan prinsip, tidak berdolak dalik walau bagaimanapun ia dipandang masyarakat.
Pilihlah jalan yang jelas menuju tuhan, dan tidak mengharapkan apa-apa melainkan syurga.
Sungguh,
Jikalau redha manusia yang aku cari, maka sudah tentu aku bukan di jalan ini.
Kerana di jalan ini, aku dipandang hina dan dimaki.
Jikalau kemudahan yang aku cari, maka sudah tentu aku bukan di jalan ini.
Kerna banyak onak dan duri, harus ku rempuh merosakkan diri.
Jikalau kejayaan dunia yang aku idamkan, maka sudah tentu aku bukan di jalan ini.
Kerna kejayaan yang ditawar, hanya kejayaan ukhrawi.
Wahai rakan,
Sebelum kamu membuat pilihan,
Lihatlah dengan mata hati.
Berbincanglah dan bersoal-jawablah.
Carilah dan kajilah.
Lihatlah dengan mata hatimu.
Bacalah dengan jiwa yang merdeka.
Letakkan Allah di hadapan.
dan buanglah persepsi manusia.
Ingatlah,
Hidup di dunia hanya sementara,
Pilihan hari ini, ganjaran hari esok.
Kesilapan di dunia, panas di sana pula.
Ingatlah ya akhi,
Berimanlah walaupun ia pahit.
Bermujahadah walaupun ia sakit.
Ingatlah ya akhi,
Islam dahulunya dagang,
Kini kembali dagang,
Maka beruntunglah mereka yang dagang.
Ingatlah ya akhi,
Bersihkan niat, luaskan fikiran,
Buatlah pilihan, beralaskan doa dan istikharah.
Kerna akhirnya,
Yang kita cari bukanlah redha manusia,
Tetapi yang maha Esa. Walau sesakit mana..
No comments:
Post a Comment