Sedang membelek-belek mesej inbox lama fb untuk cari ilham tulis blog.
Tiba-tiba terkenang akan jahiliyyah yang pernah aku selami..
Wah, ada jugak rasa rindu akan jahiliyyah? Masalah ni..
Hampir-hampir terlamun, teringat pula akan jahiliyyah yang masih belum hilang..
Teringat saya akan seorang sahabat yang pernah bertanya: "Kenapa join usrah ISMA?"
Jawapanku pada 3 tahun lepas, "Saje je.. Join ISMA bukan sebab apa, join usrah je."
Sudah tentu jikalau soalan yang sama diberi, lain jawapannya pada kali ini. :)
Tersenyum mengenangkan a series of fortunate events that have led up to this day.
Hari ini, aku akhirnya dikurniakan masa yang lapang, hati yang tenang, fikiran yang terbuka untuk menulis. Alhamdulillah!
Satu artikel yang sudah lama terbuku di dalam hati, dan sudah lapan draft dibuat tetapi akhirnya semuanya tidak jadi dipublishkan. Buat lah apa pun, kalau ditakdirkan tidak jadi, maka tidak jadilah. Artikel ini insyaAllah adalah satu pengkisahan tentang perjalanan yang telah aku tempuhi selama mencari identiti dan tujuan hidup. Benar kata mereka, empat tahun di Universiti ini akan mengubah hidup anda secara total!
2010, saat pertama kali mendapat sentuhan tarbiyyah. Seorang akhi mengajak tunggu di surau selepas isya'. "aik, ape bende pulak mamat ni nak?". Aku pun menunggu sementara dia pulang ke rumah dan datang kembali. Kembalinya dengan sebuah laptop. Aku terfikir, "Apehal nak tunjuk movie plak kat surau nih??".
Bukanya laptop, dan kami bertiga (akhi itu, jiran saya, dan saya) melihat dengan mata kami sendiri tentang kesengsaraan di Palestin. Memang darah panas ketika itu rasa marah dan hendak serta-merta berdiri dan berjihad. Sebelum apa-apa, Akhi itu menceritakan solusinya. Aku menerima secara umum, walaupun belum benar-benar memahami apa yang dia maksudkan itu.. Tidak lama kemudian, aku di datangi oleh seorang akhi yang mempunyai nama yang sama denganku. Alangkah lucunya setiap kali bertaaruf dengan rakan baru yang lain, kami berdua nama yang sama. sampaikan ada ikhwah yang menggelar aku sebagai Yusri Jr. haha. Akhi tersebut menunjukkan jalan ke arah bersama gerakan islam dengan buku, "Apa Erti Saya Menganut Islam?" oleh Fathi Yakan. Tatkala itu aku hanya mengisi masa lapang dengan usrah, maka semua itu seolah-oleh tidak ada apa-apa input. In a way, macam membazir sahaja beberapa bulan itu usrah tapi tidak berubah. Hmmh jangan judge terlalu awal.. :)
ISMA terus konsisten follow-up di INTEC. barangkali tiada orang lain dari usrah ISMA yang pergi ke US, semuanya tertumpu pada negara-negara lain, maka aku pun mula hilang minat. Aku pergi hanya untuk menyedapkan hati dan tak sampai hati hendak menolak pelawaan murabbi untuk ke usrah. baiklah, aku pergi. setahun selepas itu, di US aku bertemu dengan beberapa orang ISMA, tetapi rata-rata rakan-rakan ku tidak bersama ISMA. Dek kerana jahiliyyah yang masih pekat dan kebebasan hidup yang tinggi di US, tidak ada beza bagi ku sama ada aku usrah atau tidak. Sekali lagi aku berusrah untuk menyedapkan hati aku. Saat itu juga aku bermain kejar-kejar dengan murabbi. "Ada assignment lah", "takde duit nak pergi daurah", dan sebagainya semua alasan-alasan yang aku pernah keluar. hakikatnya, hati yang hitam itu tidak mahu mencari cahaya. Aku boleh solat, puasa, baca quran, jadi imam, cukupkan? hah, anda muda lagi, Yusri.
Lama kelamaan aku mula mendekati ISMA. Merelakan diri untuk menyertai program, mengambil tanggungjawab untuk memberi tazkirah, dan sebagainya. Aku mula untuk mengenali akhi-akhi yang aku tak pernah jumpa sebelum ini. Hakikatnya setiap daripada mereka memang luar biasa. Luaran seperti pelajar engineering yang lain, tetapi dalaman menghafaz hadis 40, al quran dan sebagainya. Senyuman manis tutur kata yang baik, tetapi bertukar garang apabila agama dicabar. Aku mula mengenal ISMA dan ahlinya. Tapi aku belum jatuh cinta.
IKRAM ni apa pulak??? MISG?? Haluan?? ABIM?? Hmm semua perkara berlegar di dalam fikiranku. Kenapa umat ini tidak boleh bersatu? Bukan semua menyeru ke arah yang sama? Ketika itu aku hanya berdiam diri dan tidak bertanya. Aku malas untuk berfikir semua itu.
PRU 13 menjadi penentu masa depan. dekat 5-7 bulan sebelum PRU 13, ISMA yang dahulunya senyap kini menjadi tumpuan ramai. Dek kerana ramai rakan-rakan daripada jemaah yang lain, aku mula meragui kebersamaan aku bersama ISMA. PRU 13 pula menunjukkan kelantangan ISMA. Semua orang menentang ISMA (kecuali orang ISMA). Adakah aku patut menentang?? Jauh di lubuk hati aku terasa pelik akan jemaah ini. Apa masalah dia, sebenarnya?? apa susah sangat nak menentang korupsi?? "PAS tak relevan???!" Selamber benar jemaah ni keluar statement begitu!
Aku mula berfikir dua kali untuk bersama ISMA atau tidak. Pada satu masa itu hendak sahaja aku pergi ke naqib dan "mengisytihar" bahawa aku tidak lagi bersama ISMA. Tetapi sebelum aku berjaya berbuat demikian, tuhan memberi petunjuk melalui kata-kata naqib ku. Tidak jadi untuk aku bersuara. Malahan sampai sekarang dia tidak tahu akan niatku untuk keluar ISMA. haha
Alasan untuk aku keluar ISMA bukannya kompleks. hanya kerana aku dikelilingi non-ISMA. pressure yang teramat bersama kefahaman yang kurang mendesak hati untuk membuat keputusan macam-macam.
Akhirnya selama beberapa bulan semasa PRU 13, aku mendekati ISMA secara langsung. aku bertanya apa yang tidak tahu, aku membaca semua beritanya, artikel lain, dan aku membuat perbandingan. Ternyata ISMA langsung tidak bias kepada pembangkang atau kerajaan. Dua-dua dia hentam! dua-dua dia puji.
Sedikit demi sedikit aku menghabiskan cuti sebulanku pada waktu winter dengan membaca berita dan artikel di internet. pembacaan demi pembacaan, perbandingan demi perbandingan, aku mula mengenal ISMA secara lebih jelas. Apa sebenarnya matlamat ISMA? Ke mana arah tuju ISMA?
Aku mendekati ISMA bermula dengan sejarah penubuhannya. Aku kagum dengan ahli ISMA yang menggunakan dokumen kajian sejarah jemaah yang tidak ditulis oleh ahli ISMA, sebagai rujukan. Aku juga kagum apabila akhi tersebut menyuruh aku membaca lebih lagi artikel tentang jemaah yang berbeza-beza di Malaysia untuk benar-benar memahami apa perjuangan sebenar gerakan Islam yang As-solah. Dia langsung tidak mahu memberi omong kosong untuk mempengaruhi aku. Jelas setiap yang dikatakan diberi bukti dan hasil kajian yang kukuh. Ternyata perkara paling penting bagi ISMA, ialah mereka yang menyeru kepada Islam untuk memahami asal-usul serta matlamat sebenar perjuangan mereka. Bukan sahaja berlegar dengan seruan "jihad" yang tidak beragenda jelas. Aku terus menyertai program-program ISMA dan mengenali manhajnya dengan baik. Aku melihat dengan jelas apa sebenarnya yang dibawa oleh ISMA dan pada masa yang sama, aku mengenali apa sebenarnya perjuangan Ikhwanul Muslimin dan apa perbezaannya dengan gerakan-gerakan yang lain.
Di Malaysia aku melihat mereka yang lantang menyeru kepada jemaah mereka, tetapi tidak memahami priority. tidak mengenal siapa sebenarnya ketua mereka. tidak dapat lihat arah mana sebenarnya seruan mereka. saat itu, aku sedih mengenangkan mengapa perkara sebegitu berlaku? Mana mungkin seorang daie menyeru tanpa memahami apa sebenarnya seruan mereka dan apa beza seruan mereka dengan seruan orang lain?
di Malaysia aku melihat bagaimana ISMA memahami waqi' semasa. Tidak mengaplikasi hukum yang berbeza dalam situasi yang berbeza. aku melihat bagaimana ISMA konsisten dengan pendiriannya.
Teringat seorang ukhti bersuara ketika di dalam program. Dia menceritakan bagaimana beliau pernah menjadi SB (Special Branch) untuk PEMBINA di sebuah ceramah Nurul Izzah di sebuah gereja. Tersebutlah Nurul Izzah tentang "tiada paksaan dalam Islam" yang katanya di aplikasikan kepada muslim juga. Maka esoknya keluarlah pelbagai kritikan tentang pandangannya yang tidak berasaskan disiplin ilmu agama yang kuat itu. Tidak kurang juga daripada PEMBINA/ISMA. Kemudian Nurul Izzah menarik kembali kata-katanya atas dasar kesilapan. Sejurus selepas itu semua ahli di arah untuk menarik kembali artikel mereka yang mengkritik Nurul Izzah itu.
Saat aku mendengar itu, bertambah keyakinan tentang ISMA yang dituduh oleh orang ramai seolah-olah pro-UMNO. jelas, ISMA tidak mengkritik seseorang berdasarkan parti, tetapi berdasarkan hujah dan apa yang mereka bawa.
Terlalu ramai yang bercakap mengenai "kembali kepada islam yang sebenar" di dalam usrah. Tetapi barangkali seruan tersebut tidak difahami dengan berasaskan sumber syara'.
Sebagai contoh yang simple, kita tahu bahawa syarat utama 'Adil yang pernah kita belajar di dalam Agama Islam ialah yang pertama sekali "beragama Islam". Namun mereka yang menyeru "kembali kepada Islam yang sebenar" inilah juga yang menentang keras apabila ISMA membawa slogan "Undi Calon Muslim Berwibawa" yang juga merangkumi tidak mengundi non-Muslim jika tidak terpaksa.
Jadi daripada situ, aku melihat bahawa neraca yang ISMA gunakan bukanlah daripada perspektif barat. 'Adil' yang ISMA maksudkan bukanlah adil seperti Obama mentakrifkan adil. Tetapi adil yang dibawa oleh ISMA tidak lain dan tidak bukan adalah berasaskan syariat. Aku melihat penghujahan ISMA dalam PRU 13 adalah bersifat akademik berasaskan syariat dan rata-rata orang lain hanya mengatakan tentang "keadilan" pada neraca RAND corporation. Aku mellihat skop ghazwatul fikr yang ISMA bawa menjangkaui hanya pihak barat dan melihat secara kritis akan aplikasi serangan pemikiran tersebut di Malaysia dan bukan terhad kepada "orang putih". Aku melihat akan ketegasan ISMA untuk mempertahankan negara Islam ini daripada dibuang sedikit demi sedikit dari segi pentadbiran dan struktur, sementara orang lain sibuk hendak berhujah dan berdebat atas dasar toleransi. ISMA faham bahawa pembinaan negara Islam yang sempurna itu bukannya datang daripada hancurnya sistem Islam oleh mereka yang mahu membinanya.
Aku melihat ISMA memahami toleransi yang dimaksudkan oleh Syed Qutb dan Hasan Al Banna dalam hubungan dengan non-Muslim.
Apabila keluar kempen "boikot produk non-Muslim" yang akhirnya ditukar menjadi "sokong produk Muslim" (nama yang berbeza, maksud yang sama), ramai yang menentang atas dasar tidak mahu rasis, atau kita hidup bermasyarakat. Ya Ikhwah! Imam yang sama yang menulis risalah anda itu jugalah yang berkata, jangan biar satu sen pon masuk ke poket bukan Islam, kenapa kamu menentang? Jelas toleransi yang diperjuangkan oleh sesetengah pihak memakan diri mereka sendiri apabila yang mereka perjuangkan itu sebenarnya tidak menyokong tindakan mereka itu. Barangkali bercampur aduk rujukan dengan rujukan liberalisme, humanisme dan sebagainya. Ya akhi, pelajari tentang liberalisme di Malaysia dan anda akan lihat apa yang ana lihat..
Sungguh, kini baru jelas aku fahami apa maksud ISMA apabila mengatakan "PAS tidak relevan". Dan aku juga yakin ramai yang boleh setuju kini bahawa PAS sudah tidak relevan. Tatkala undang-undang anti-syiah digubal di Kedah, kesemua DUN yang di parti BN bersetuju, kesemua di PKR tidak mengundi, maka PAS pula menolak. Sungguh pelik seruan islamis ini.
Jelas, masalah yang paling besar kini ialah melihat buta-buta dengan mata parti. undian anti-syiah pun boleh terbahagi mengikut parti. SUNGGUH, aku pelik dan aku sedih. Hentikan seruan mengikut parti. yang mana baik dari parti apa pun, kita sokong, yang mana buruk daripada parti apa pun, kita tolak. Selagi belum ada parti yang benar-benar serious dan jelas memperjuangkan Islam tanpa kepentingan seperti FJP, maka tidak wajar kita bias kepada mana-mana pihak.
Rata-rata aku sangka mungkin ramai yang tidak suka akan ISMA kerana menyangka bahawa ISMA ini hanya sebuah gerakan yang suka mengkritik. Wallahi terdapat ramai ahli kami yang sedang menjalankan tugas mereka. Tua mana pun ahli itu, dia masih mengikuti usrah dan masih perlu bekerja di bawah ISMA.
Aku menyeru anda yang membaca ini untuk mengkaji sejarah penubuhan ISMA serta jemaah lain melalui pembacaan dan bukan ucapan-ucapan naqib semata-mata. Aku menyeru anda yang membaca ini untuk membaca Risalah Tsulasa' oleh Ikhwan, dan aku menyeru anda untuk serious dalam mencari jalan kebenaran.
Sebenarnya, jalan ini bukan jalan suka-suka atau jalan fanatik. Ini adalah jalan ke syurga. Maka selidiklah sehabis baik sebelum anda benar-benar terokai jalan ini. Jangan sudah sampai jalan mati baru hendak berpatah balik. Janganlah seruan anda pula membawa anda dan orang lain ke jalan yang tersimpang. Sungguh, itu perkara yang amat merugikan. Fikir masak-masak dahulu sebelum menyeru. Jangan atas dasar ukhuwwah, anda tidak mahu menerima fakta. Sungguh, aku dahulu hendak keluar daripada ISMA atas dasar ukhuwwah yang kuat dengan orang bukan ISMA. tetapi ukhuwwah itu bukanlah penentu hidup matiku.
Ingatlah, dunia ini hanya sekali dan kebenaran itu tidaklah relatif. Yang relatif itu hanyalah sudut arah point of reference.
Buat yang mengenali, aku terbuka untuk menerima sebarang soalan mengenai ISMA. Hubungilah dengan medium yang sebaiknya.
Barangkali post ini mungkin yang pertama dan terakhir buat beberapa ketika ini. Harap post ini amat membantu anda dalam mencari jalan yang lurus.
Selamat beramal. Moga kita semua diberkati Allah atas usaha kita. Moga Allah redha atas kita.
#Keahlian ISMA: 4004
ISMA US CANADA.
No comments:
Post a Comment